Friday, 29 April 2016

Sikap Ambil Mudah Rugikan Pencarum KWSP

Bharian 27 April 2016


1. Statistik satu dekad lalu pada 2006 menganggarkan ada lebih satu juta kes tuntutan harta pusaka tertunggak bernilai kira-kira RM38bilion kerana tidak diuruskan pewaris dengan hamper 90 peratus daripadanya adalah milik orang Islam. 

2. Jumlah berkenaan meningkat kepada kira-kira RM40 bilion pada 2007 yang sebanyak RM38 Bilion daripada harta pusaka dalam bentuk hartanah dan RM1.5 Bilion adalah wang tunai. Pada 2010 pula, harta berjumlah RM40 Bilion milik lebih 500,000 waris dalam kalangan umat Islam masih belum dapat dicairkan. 

3. Statistik terbaru seperti diumumkan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri, menunjukkan kira-kira RM60 Bilion jumlah harta tidak dituntut waris si mati sejak Malaysia mencapai kemeerdekaan, yang antara sebabnya adalah sikap ambil mudah menangguhkan permohonan pembahagian harta pusaka. Jumlah itu diperoleh menerusi rekod Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) melalui Bahagian Pembahagian Harta Pusaka (BPP). 

4. Kita melihat jumlah harta beku yang cukup besar dan selain ambil mudah, ia disebabkan kurangnya kesedaran masyarakat, terutama orang Islam dalam soal tadbir urus harta pusaka ketika hidup. Ramai beranggapan oleh kerana harta dimiliki tidak sebanyak mana, tidak perlulah berbuat apa-apa dan pandai-pandailah yang hidup menguruskannya kelak. Sikap ini merugikan anggota keluarga kerana dibimbangi menjadi harta tidak dituntut dan menambah kepada statistic berkenaan.

5. Apa pun, walaupun harta itu ditinggalkan itu nilanya sedikit, ia tetap perlu diuruskan dengan baik, kata Ahli Panel Syariah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Profesor Emeritius Datuk Dr Mahmod Zuhdi Abdul Majid. Penyusunan penurunan harga yang sempurna perlu bagi menjamin kesejahteraan hidup waris agar kehidupan mereka tidak susah dan dhaif sedangkan ada harta yang ditinggalkan si mati. 

6. Dalam soal ini, tidak timbul sedikit atau banyak kerana yang penting adalah ia diuruskan dengan baik sewaktu seseorang itu masih hidup supaya pembahagiannya mudah dan cepat apabila pemiliknya meninggal dunia. Banyak produk berkaitan urusan ini, seperti wasiat dan hibah juga pemegang amanah yang ditawarkan banyak pihak pada masa ini. Cara ini bukan sahaja memudahkan tetapi membolehkan si mati tenang apabila berada di alam sana, kerana masing-masing mendapat haknya dan tiada pertelingkahan dalam kalangan anggota keluarga. Kita melihat yuran perkhidmatan agak tinggi menyebabkan setengah pihak, terutama yang mengandaikan harta mereka sebagai sedikit, mungkin sebuah rumah dan sedikit simpanan, tidak melanggan perkhidmatan ini.

Dengan yuran pemprosesan yang tinggi, disamping yuran penyeleggaraan, ada pihak berasakan wang yang perlu dikeluarkan tidak sepadan dengan harta yang ditinggalkan. Dalam hal ini, kita melihat pihak yang menyediakan perkhidmatan ini harus juga menjadikan perkhidmatan ini sebagai pelaburan akhirat dan bukan memandangnya dari sudut pernigaan semata-mata.  

Tuesday, 26 April 2016

Berkenalan Dengan Ilmu Faraidh




Apakah yang dimaksudkan dengan faraidh ?

 Ilmu Faraid atau Mawaris ialah : “ilmu berkenaan kaedah-kaedah fiqh dan hisab untuk mengetahui bahagian setiap ahli waris dari harta peninggalan si mati, atau ilmu untuk mengetahui siapa yang mewarisi dan siapa yang tidak mewarisi serta kadar perwarisan bagi setiap ahli waris”. (al-Mawaris Fi al Fiqh Al-Islami, hlmn.12)

Berdasarkan takrif ini, kita dapati bahawa asas penting dalam pengajian ilmu faraidh ialah:

1. Mengetahui cabang-cabang nasab
2. Mengetahui ahli waris dan bukan ahli waris
3. Mengetahui bahagian-bahagian setiap ahli waris
4. Mengetahui kaedah atau cara pengiraan faraidh


Apakah perbincangan utama dalam ilmu faraidh?

Perbincangan utama dalam faraidh ialah At-Tarikah iaitu harta peninggalan si mati. Harta peninggalan bermaksud segala harta yang ditinggalkan si mati selepas kematiannya yang terdiri dari harta boleh alih (seperti emas, perak, matawang lainnya, perkakas-perkakas/perabot dan sebagainya) dan harta tidak boleh alih (seperti tanah, rumah, bangunan dan sebagainya). Semua yang tersebut dalam pengertian harta peninggalan yang wajib diberikan kepada sesiapa yang berhak ke atasnya.


Apakah tujuan belajar ilmu faraidh?

Dapat mengenal pasti bahagian-bahagian yang dikhususkan kepada setiap waris dari harta peninggalan (harta pusaka) dan demi menunaikan hak setiap ahli waris. Ia juga bertujuan menjauhkan dari kezaliman dan kesalahan dalam pembahagian harta warisan.


Apakah hubungannya dengan ilmu lain (nisbah)?

Ilmu faraidh adalah cabang dalam ilmu fiqh 


Siapakah perintis ilmu ini?

Ilmu faraidh atau pewarisan (mawaris) ditetapkan langsung oleh Allah s.w.t dalam al-Qur’an


Apakah kelebihan ilmu faraidh?

Seperti yang disebut dari hadis-hadis yang memberi galakan dan dorongan pada belajar dan mengajar akan ilmu ini dan ilmu faraid adalah seafdhal-afdhal ilmu.


Apakah nama lain ilmu Faraidh?

Ilmu Mawaris, harta pusaka, ilmu pewarisan


Apakah sumber hukum faraidh?

Al-Quran, Sunnah dan Ijma’


Apakah hukum belajar ilmu Faraidh?

Hukum mempelajarinya adalah fardhu kifayah namun pelaksanaannya dalam pembahagian harta pusaka adalah fardhu ain.


Apakah Bab Perbahasan ilmu faraidh?

Antara bab perbahasan merangkumi :

i.              Hak-hak yang bersangkutan dengan harta peninggalan si mati
ii.             Perwarisan, sebab, syarat, rukun dan penghalang
iii.            Ahli waris dari lelaki dan perempuan
iv.            Ashabul furudh
v.             Fardhu –fardhu (1/2, 1/4, 1/8. 2/3, 1/3, 1/6) yang ditetapkan dalam al-Quran.
vi.            Asobah dan pembahagian asobah
vii.           Masalah Datuk dengan adik beradik (Jadd wa ikhwah)
viii.          Hijab
ix.            Al-Hisab (pengiraan)
x.             Al-Musytarakah
xi.            Al-Muaadah
xii.           Al-Akdariah
xiii.          Al-Munasakhah
xiv.          Perwarisan Khunsa Musykil, orang hilang (al mafqud) dan bayi dalam kandungan (al-haml)
xv.           Dan banyak lagi seperti dihuraikan di dalam kitab-kitab para ulama’


Siapakah pakar ilmu faraidh di kalangan sahabat?

Di kalangan sahabat Nabi Muhammad s.a.w, ada empat orang yang terkenal kepakaran mereka dalam ilmu faraidh, iaitu:

1.    Saidina Ali bin Abi Talib
2.     Abdullah Bin Abbas
3.     Zaid bin Tsabit
4.     Abdullah bin Mas’ud

Dari mereka berempat, Zaid bin Tsabit yang paling pakar kerana Rasulullah s.a.w sendiri dalam suatu hadis bersabda:

“orang yang paling mengetahui ilmu faraidh di kalangan kamu ialah Zaid bin Tsabit” (Riwayat Imam Ahmad dari Anas r.a)



Kesimpulan

Dari ibnu Mas’ud, dari Nabi s.a.w:

“belajarlah kamu ilmu faraidh dan ajarkan lah ia kepada manusia. Sesungguhnya aku adalah oang yang dicabut nyawa. Sesungguhnya ilmu ini akan tercabut sehingga dua orang berselisih faham pada pembahagian harta pusaka sementara kedua-dua mereka tidak menjumpai seseorang yang dapat menyelesaikan (pembahagian harta) antara mereka”(Riwayat Hakim)


Hukum  Faraid merupakan satu hukum yang amat jelas perinciannya di dalam al-Quran. Pematuhan kepada hukum ini sepertimana yang digariskan oleh al-Quran menjamin keharmonian dan kesejahteraan di kalangan pewaris. Namun hakikat yang dapat dilihat pada hari ini adalah bertentangan dengan matlamat yang ingin dihasilkan oleh hukum faraid ini. Selain mencetus perbalahan di kalangan waris dan pengabaian serta penafian dari segi hak, kegagalan mereka untuk mengurus dan merancang pembahagian pusaka sepertimana yang dianjurkan oleh Shariah menyebabkan banyak harta umat Islam menjadi beku. Oleh yang demikian adalah penting bagi umat Islam untuk mempelajari dan mengetahui cara kiraan harta pusaka dan merancang pewarisan yang baik dan berkesan. Justeru selain mengetahui aspek pembahagian dari segi hukum, kita juga perlu tahu tentang pengurusan pusaka dari sudut teknikal dan juga prosedur semasa yang digunapakai di negara ini.

Implikasi Seandainya Tidak Mengurus Harta Pusaka

Pelbagai implikasi akan berlaku jika semasa hidup tidak menguruskan harta pusaka peninggalan arwah seperti peninggalan kedua-dua ibu bapa.


Implikasi dari Segi Hukum Syara’

Antara masalah yang banyak timbul dalam masyarakat kita yang berkaitan dengan hukum syarak adalah terdedah kepada perlanggaran hukum secara sedar ataupun tidak sedar seperti:

1.Termakan harta secara batil

Sekiranya kita tidak menguruskan ataupun merancang pusaka, ia akan membawa para waris terlibat dan berterusan dalam memakan atau menguasai harta secara batil. Ia dilarang oleh Allah dan RasulNya. Bukan setakat larangan, tetapi ia juga disertai dengan ancaman terhadap orang yang melakukannya.

2.Termakan harta anak Yatim

Sekiranya si mati ada meninggalkan anak-anak kecil yang belum baligh, mereka adalah dianggap sebagai anak-anak yatim. Maka, harta yang ditinggalkan itu sebahagiannya adalah harta anak yatim. Penggunaan sewenang- wenangnya terhadap harta itu sebelum diselesaikan pembahagian akan menjerumus kita dalam apa yang dikatakan sebagai memakan dan menggunakan harta anak yatim.
Allah Taala melarang keras perbuatan ini.

“Jangan sesekali kamu dekati harta anak yatim, kecualidengan cara yang baik sehingga dia mencapai umur baligh” (surah al-An’am :152)

3. Termakan hak-hak si Mati

Dalam hukum pembahagian harta pusaka, bukan semua harta peninggalan itu dikira harta pusaka yang boleh difaraidhkan kepada waris yang berhak. Sebelum harta pusaka difaraidkan, para waris terlebih dahulu perlu memastikan beberapa perkara seperti kos pengurusan jenazah, hutang-hutang si mati (samada hutang dengan Allah ataupun hutang dengan manusia), wasiat amal jariah si mati, harta hibah dan harta sepencarian. Kemudian, barulah selebihnya boleh difaraidkan kepada ahli waris.
Sekiranya perkara ini tidak dapat dipastikan terlebih dahulu, maka ia akan menyebabkan si mati menanggung azab di dalam kubur. Selain perlanggaran hukum secara sedar ataupun tidak sedar, ia turut membawa kepada beberapa impak lain iaitu:

  • Bilangan waris makin bertambah
  • Hutang si mati tidak dapat dilunaskan dan wasiat si mati tidak dapat disempurnakan
  • Berlaku perbalahan dan perpecahan institusi Kekeluargaan


Implikasi dari segi undang-undang ekonomi dan sosial

1.Harta terbiar dan tidak terurus

Pembahagian ditangguhkan dari hari ke hari sehingga bertahun-tahun lamanya dengan tiada siapa yang mahu bertanggungjawab menguruskannya. Akhirnya dibiarkan sahaja harta pusaka itu. Bagi hartanah, cukai tidak dibayar sehingga bertahun-tahun lamanya. Tunggakan cukai pasti bertambah dari tahun ke tahun. Pernah ada tunggakan cukai sehingga beribu-ribu ringgit, sedangkan tanah itu ditinggal terbiar tanpa diusahakan ataupun dimajukan. Demikian juga dengan permohonan bagi mendapatkan bantuan dari pada agensi kerajaan seperti RISDA dan sebagainya tidak dapat dipertimbangkan. Hal ini merugikan waris-waris, masyarakat dan juga kerajaan.

2.Urus niaga tanah tidak dapat dijalankan (Tiada kuasa transaksi)

Bagi hartanah, selagi masih berdaftar dengan nama si mati, selagi itulah sebarang urus niaga tidak dapat dijalankan. Tanah tersebut tidak boleh dijual beli, dicagar, disewakan, digadai ataupun sebagainya. Tempoh pembekuan urusniaga ini bergantung kepada langkah yang diambil oleh waris-waris bagi penyelesaian pusaka itu mengikut undang-undang. Apabila tanah-tanah tersebut sudah di daftarkan atas nama waris-waris, barulah urus niaga boleh dijalankan ke atasnya.

3. Wang pampasan tidak boleh dibayar
Demikian juga tanah tersebut diambil oleh kerajaan bagi tujuan pembangunan, wang pampasan ataupun ganti rugi tidak akan diserahkan kepada waris-waris sehingga pusaka itu diselesaikan, ataupun dibuat pembahagian mengikut undang-undang. Bagi kes-kes terbiar begitu lama, bukan suatu perkara mudah untuk menyelsaikan dengan segara. Terutamanya kes yang bermasalah seperti kehilangan dokumen, tidak mendapat keterengan yang tepat dan sebagainya. Hal ini akan menyebabkan wang pampasan itu tertahan tanpa dapat dimanfaatkan oleh waris.

4. Pemilikan beramai-ramai ke atas Harta

5. Wang simpanan si mati dipindahkan kepada pendaftar Wang Tidak Di Tuntut.
Kelewatan penyelesaian pembahagian harta pusaka akan menyebabkan wang simpanan si mati dalam mana-mana institusi kewangan ataupun koperasi, saham-saham dan bon dipindahkan kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut setelah beberapa lama tidak dituntut. Hal ini sudah tentu merugikan para waris.

6. Menyulitkan proses perbicaraan pembahagian pusaka
Antara Kesulitan yang biasa dialami ialah kehilangan dokumen kematian, dokumen harta dan sebagainya. Para waris sukar untuk memberikan keterangan kerana tidak mengetahui kedudukan para waris terdahulu dengan betul. Hal ini menggangu proses perbicaraan sehingga ada kes yang terpaksa dibicarakan beberapa kali ekoran tidak cukup dokumen, keterangan dan bantahan daripada waris-waris yang lain.
Inilah implikasi dari segi hukum syarak dan perundangan yang akan berlaku jika harta pusaka tidak diurus dengan baik.

Ruj : Pembahagian Harta Pusaka Dan Kepentingan Wasiat, Ustaz Ghazali Ibrahim, Terbitan Mustread.


Monday, 25 April 2016

Harta RM 60 Bilion Gagal Dituntut Tak Boleh ‘DICAIR’

Harta pusaka bernilai kira-kira RM60 bilion yang gagal dituntut, tidak boleh ‘dicairkan’ oleh kerajaan walaupun hasilnya membawa kebaikan bersama terhadap umat Islam di Negara ini.

Ketua Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universitit Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Azman Mohd Nor, berkata harta berkenaan mempunyai pemilik dan tidak boleh dilakukan sesuka hati tanpa kebenaran mereka termasuk kerajaan.

“Walaupun ada kebenaran tentang kesukaran untuk mendapat kelulusan pewaris, adalah satu kezaliman jika kerajaan mencairkan harta itu”, katanya pada sesi soal jawab Seminar Faraid dan Perancang Pewaris : Isu Harta Beku dan Penyelesaian di Malaysia.

Azman berkata, perlu ada perbincangan untuk mencari penyelesaian jika mahu proses pemindahan harta pusaka diselesaikan.

“Apa yang perlu dilakukan adalah membuat kajian mengenai prosedur sedia ada, antaranya mungkin melantik lebih ramai hakim syarie atau masa perbicaraan dilanjtkan hingga ke malam (untuk menyelesaikan kes),” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr luqman Abdullah, berkata isu mencairkan harta pusaka adalah perkara besar dan memerlukan perbincangan secara kolektif dan menyeluruh termasuk dari pakar perundangan dan ekonomi.

“Kita perlu berhujah atau mengeluarkan dalil yang baik untuk mencapai kata sepakat dan salah satunya menganjurkan seminar sebegini,” katanya.


Bukan sebab sistem Faraid

Terdahulu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam (IKIM), Prof Datin Dr Azizan Baharuddin, berkata kajian menunjukkan asset umat Islam yang tidak dituntut dan dibekukan berjumlah RM60 bilion, bukan berpunca dari sistem faraid.

Katanya, alasan untuk mengaitkan isu itu dengan sistem faraid adalah satu hujah yang amat lemah.

 “Kebanyakan dapatan kajian menunjukkan masalah ini disumbangkan oleh beberapa faktor termasuk ketiadaan kesedaran mengenai perancangan pewarisan dalam kalangan umat Islam dan kejahian waris tentang prosedur yang perlu diikuti dan waris tidak peduli.

“Kos yang tinggi dan kerenah birokrasi juga menjadi penyumbang kepada isu ini. Malah, proses pengagihan harta akan menjadi lebih rumit apabila waris bertindih dan masalah berkaitan penipuan serta pertikaian dalam kalangan waris,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan pada majlis perasmian Seminar Faraid dan Perancangan Pewarisan : Isu Harta Beku dan Penyelesaiannya di Malaysia, yang dibacakan timbalannya, Dr Mohd Zaidi Ismail.

Azizan berkata, sistem faraidh adalah sesuatu yang wajib dipatuhi dan waris wajar tahu bahawa banyak perkara perlu dilalui sebelum harta dapat dibahagikan.

Sumber : Akhbar Berita Harian, 20 Mac 2016



Pemilik Rugi Tempoh Masa Terlalu Lama Tuntut Pusaka

Tempoh masa terlalu lama untuk menuntut harta pusaka mengakibatkan kerugian besar kepada pemilik kerana setiap hartanah mempunyai nilai guna tersendiri. Perkara sama juga terjadi jika harta berkenaan dalam bentuk wang tunai kerana faktor inflasi.

Felo Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Muhammad Hisyam Mohamad berkata, proses tuntutan harta pusaka di Negara ini perlu melalui prosedur dan formality tertentu yang mengambil masa.




Harta Kurang RM2 juta ambil masa 5 bulan

Contohnya, tempoh masa menuntut harta tidak melebihi RM2juta di Pejabat Tanah mengambil masa lima bulan setengah dan boleh bertambah jika membabitkan kes kematian atau harta berada di daerah lain.

“Tempoh masa akan bertambah jika harta melebihi RM2 juta kerana proses melantik pentadbir pusaka perlu dilakukan terlebih dahulu dan ini akan mengambil masa antara dua hingga empat tahun sebelum waris menerima hak mereka.

Proses 50 tahun

“Dalam satu kes direkodkan di Mahkamah Tinggi Pahang pada 17 Ogos 2005, pertelingkahan keluarga menyebabkan proses penyelesaian mengambil masa 50 tahun. Dalam tempoh itu, mungkin ada potensi ekonomi yang terpaksa dilepaskan waris kerana mereka tidak berpeluang menggunakan harta itu,” katanya dalam kertas kerja bertajuk ‘Pembekuan Harta : Kesan Ke Atas Ekonomi Umat Islam’.

Muhammad Hisyam berkata, kes waris berlapis jugamenyumbang kepada kehilangan nilai guna kerana bahagian yang bakal diwarisi akan semakin mengecil.

“Satu kes membabitkan sebidang tanah yang berkeluasan 809.345 meter persegi di Kampung Baru, ibu Negara dimiliki 141 waris yang mana bahagian terkecil diperoleh hanya 0.01335 meter persegi saja.
 “Jika unjuran nilai semester persegi adalah RM1,000, bahagian terkecil itu bernilai RM13.35 saja dan dari segi nilai, keluasan ini tiada nilai ekonomi meskipun tanah terletak di segi tiga emas di ibu Negara,” katanya.


Sumber : Akhbar Berita Harian, 20 Mac 2016 

Pertemuan Dengan Mufti Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur, 18 April 2016. 

Syukur, baru-baru ini,  pihak Akademi Mawaris Ibnu Tsabit yang diwakili pengasas Us Mohd Hanif Haji Ibrahim dan pengetua Akademi Us Muhammad Idris Bin Muharam menziarahi Mufti Wilayah, S.S Datuk Zulkkifil Bin Mohamad al-Bakri. Dalam pertemuan lebih kurang 35min, Datuk Mufti mencadangkan kajian lanjut masalah al-Munasakhah (kematian seseorang sebelum harta peninggalan dibahagi-bahagikan sampai seseorang atau beberapa orang yang mewarisinya menyusul meninggal dunia) lalu menyebab masalah berlapis-lapis dalam pewarisan. Datuk mufti juga mencadangkan kepada agar memasukkan masalah/perbincangan baru dalam isu-isu Harta Pusaka ke dalam modul kami agar modul itu segar antara gabungan turath dan muasarah.


Datuk Mufti memberi harapan agar pihak Akademi terus istiqamah dalam menyampaikan ilmu faraidh dan harta pusaka kerana ilmu ini sangat kurang ahlinya sekarang.

Datuk Mufti Wilayah menyampaikan pesanan dan cadangan
Dalam pertemuan yang singkat itu juga, wakil Akademi yang juga merupakan Guru dan Mudir Madrasah Syaikhul Ariffien (MASA), Simpang Bekoh, Melaka menjemput Datuk Mufti ke MASA sambil memberikan penerangan ringkas sejarah dan matlamat penubuhan Madrasah. 

Akhir perjumpaan, pengasas Akademi, Us Mohd Hanif Ibrahim, secara peribadi telah menghadiahkan beberapa buah buku terjemahan dan karangan beliau kepada Datuk Mufti.    



Bergambar dengan Datuk Mufti


Pihak Akademi mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Mufti Wilayah dan pejabat Mufti Wilayah kerana sudi menerima kunjungan dan menyampaikan pesanan yang sangat berharga kepada kami.