Tuesday, 26 April 2016

Berkenalan Dengan Ilmu Faraidh




Apakah yang dimaksudkan dengan faraidh ?

 Ilmu Faraid atau Mawaris ialah : “ilmu berkenaan kaedah-kaedah fiqh dan hisab untuk mengetahui bahagian setiap ahli waris dari harta peninggalan si mati, atau ilmu untuk mengetahui siapa yang mewarisi dan siapa yang tidak mewarisi serta kadar perwarisan bagi setiap ahli waris”. (al-Mawaris Fi al Fiqh Al-Islami, hlmn.12)

Berdasarkan takrif ini, kita dapati bahawa asas penting dalam pengajian ilmu faraidh ialah:

1. Mengetahui cabang-cabang nasab
2. Mengetahui ahli waris dan bukan ahli waris
3. Mengetahui bahagian-bahagian setiap ahli waris
4. Mengetahui kaedah atau cara pengiraan faraidh


Apakah perbincangan utama dalam ilmu faraidh?

Perbincangan utama dalam faraidh ialah At-Tarikah iaitu harta peninggalan si mati. Harta peninggalan bermaksud segala harta yang ditinggalkan si mati selepas kematiannya yang terdiri dari harta boleh alih (seperti emas, perak, matawang lainnya, perkakas-perkakas/perabot dan sebagainya) dan harta tidak boleh alih (seperti tanah, rumah, bangunan dan sebagainya). Semua yang tersebut dalam pengertian harta peninggalan yang wajib diberikan kepada sesiapa yang berhak ke atasnya.


Apakah tujuan belajar ilmu faraidh?

Dapat mengenal pasti bahagian-bahagian yang dikhususkan kepada setiap waris dari harta peninggalan (harta pusaka) dan demi menunaikan hak setiap ahli waris. Ia juga bertujuan menjauhkan dari kezaliman dan kesalahan dalam pembahagian harta warisan.


Apakah hubungannya dengan ilmu lain (nisbah)?

Ilmu faraidh adalah cabang dalam ilmu fiqh 


Siapakah perintis ilmu ini?

Ilmu faraidh atau pewarisan (mawaris) ditetapkan langsung oleh Allah s.w.t dalam al-Qur’an


Apakah kelebihan ilmu faraidh?

Seperti yang disebut dari hadis-hadis yang memberi galakan dan dorongan pada belajar dan mengajar akan ilmu ini dan ilmu faraid adalah seafdhal-afdhal ilmu.


Apakah nama lain ilmu Faraidh?

Ilmu Mawaris, harta pusaka, ilmu pewarisan


Apakah sumber hukum faraidh?

Al-Quran, Sunnah dan Ijma’


Apakah hukum belajar ilmu Faraidh?

Hukum mempelajarinya adalah fardhu kifayah namun pelaksanaannya dalam pembahagian harta pusaka adalah fardhu ain.


Apakah Bab Perbahasan ilmu faraidh?

Antara bab perbahasan merangkumi :

i.              Hak-hak yang bersangkutan dengan harta peninggalan si mati
ii.             Perwarisan, sebab, syarat, rukun dan penghalang
iii.            Ahli waris dari lelaki dan perempuan
iv.            Ashabul furudh
v.             Fardhu –fardhu (1/2, 1/4, 1/8. 2/3, 1/3, 1/6) yang ditetapkan dalam al-Quran.
vi.            Asobah dan pembahagian asobah
vii.           Masalah Datuk dengan adik beradik (Jadd wa ikhwah)
viii.          Hijab
ix.            Al-Hisab (pengiraan)
x.             Al-Musytarakah
xi.            Al-Muaadah
xii.           Al-Akdariah
xiii.          Al-Munasakhah
xiv.          Perwarisan Khunsa Musykil, orang hilang (al mafqud) dan bayi dalam kandungan (al-haml)
xv.           Dan banyak lagi seperti dihuraikan di dalam kitab-kitab para ulama’


Siapakah pakar ilmu faraidh di kalangan sahabat?

Di kalangan sahabat Nabi Muhammad s.a.w, ada empat orang yang terkenal kepakaran mereka dalam ilmu faraidh, iaitu:

1.    Saidina Ali bin Abi Talib
2.     Abdullah Bin Abbas
3.     Zaid bin Tsabit
4.     Abdullah bin Mas’ud

Dari mereka berempat, Zaid bin Tsabit yang paling pakar kerana Rasulullah s.a.w sendiri dalam suatu hadis bersabda:

“orang yang paling mengetahui ilmu faraidh di kalangan kamu ialah Zaid bin Tsabit” (Riwayat Imam Ahmad dari Anas r.a)



Kesimpulan

Dari ibnu Mas’ud, dari Nabi s.a.w:

“belajarlah kamu ilmu faraidh dan ajarkan lah ia kepada manusia. Sesungguhnya aku adalah oang yang dicabut nyawa. Sesungguhnya ilmu ini akan tercabut sehingga dua orang berselisih faham pada pembahagian harta pusaka sementara kedua-dua mereka tidak menjumpai seseorang yang dapat menyelesaikan (pembahagian harta) antara mereka”(Riwayat Hakim)


Hukum  Faraid merupakan satu hukum yang amat jelas perinciannya di dalam al-Quran. Pematuhan kepada hukum ini sepertimana yang digariskan oleh al-Quran menjamin keharmonian dan kesejahteraan di kalangan pewaris. Namun hakikat yang dapat dilihat pada hari ini adalah bertentangan dengan matlamat yang ingin dihasilkan oleh hukum faraid ini. Selain mencetus perbalahan di kalangan waris dan pengabaian serta penafian dari segi hak, kegagalan mereka untuk mengurus dan merancang pembahagian pusaka sepertimana yang dianjurkan oleh Shariah menyebabkan banyak harta umat Islam menjadi beku. Oleh yang demikian adalah penting bagi umat Islam untuk mempelajari dan mengetahui cara kiraan harta pusaka dan merancang pewarisan yang baik dan berkesan. Justeru selain mengetahui aspek pembahagian dari segi hukum, kita juga perlu tahu tentang pengurusan pusaka dari sudut teknikal dan juga prosedur semasa yang digunapakai di negara ini.

No comments:

Post a Comment