Harta pusaka bernilai kira-kira RM60 bilion yang gagal
dituntut, tidak boleh ‘dicairkan’ oleh kerajaan walaupun hasilnya membawa
kebaikan bersama terhadap umat Islam di Negara ini.
Ketua Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan
Sains Kemanusiaan Universitit Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr
Azman Mohd Nor, berkata harta berkenaan mempunyai pemilik dan tidak boleh
dilakukan sesuka hati tanpa kebenaran mereka termasuk kerajaan.
“Walaupun ada kebenaran tentang kesukaran untuk mendapat
kelulusan pewaris, adalah satu kezaliman jika kerajaan mencairkan harta itu”,
katanya pada sesi soal jawab Seminar Faraid dan Perancang Pewaris : Isu Harta
Beku dan Penyelesaian di Malaysia.
Azman berkata, perlu ada perbincangan untuk mencari
penyelesaian jika mahu proses pemindahan harta pusaka diselesaikan.
“Apa yang perlu dilakukan adalah membuat kajian mengenai
prosedur sedia ada, antaranya mungkin melantik lebih ramai hakim syarie atau masa
perbicaraan dilanjtkan hingga ke malam (untuk menyelesaikan kes),” katanya.
Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian
Islam Universiti Malaya, Dr luqman Abdullah, berkata isu mencairkan harta
pusaka adalah perkara besar dan memerlukan perbincangan secara kolektif dan
menyeluruh termasuk dari pakar perundangan dan ekonomi.
“Kita perlu berhujah atau mengeluarkan dalil yang baik untuk
mencapai kata sepakat dan salah satunya menganjurkan seminar sebegini,”
katanya.
Bukan sebab sistem Faraid
Terdahulu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam (IKIM),
Prof Datin Dr Azizan Baharuddin, berkata kajian menunjukkan asset umat Islam
yang tidak dituntut dan dibekukan berjumlah RM60 bilion, bukan berpunca dari
sistem faraid.
Katanya, alasan untuk mengaitkan isu itu dengan sistem
faraid adalah satu hujah yang amat lemah.
“Kebanyakan dapatan
kajian menunjukkan masalah ini disumbangkan oleh beberapa faktor termasuk
ketiadaan kesedaran mengenai perancangan pewarisan dalam kalangan umat Islam
dan kejahian waris tentang prosedur yang perlu diikuti dan waris tidak peduli.
“Kos yang tinggi dan kerenah birokrasi juga menjadi
penyumbang kepada isu ini. Malah, proses pengagihan harta akan menjadi lebih
rumit apabila waris bertindih dan masalah berkaitan penipuan serta pertikaian dalam
kalangan waris,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan pada majlis
perasmian Seminar Faraid dan Perancangan Pewarisan : Isu Harta Beku dan
Penyelesaiannya di Malaysia, yang dibacakan timbalannya, Dr Mohd Zaidi Ismail.
Azizan berkata, sistem faraidh adalah sesuatu yang wajib
dipatuhi dan waris wajar tahu bahawa banyak perkara perlu dilalui sebelum harta
dapat dibahagikan.
Sumber : Akhbar Berita Harian, 20 Mac 2016
No comments:
Post a Comment